KUALA KANGSAR, 13 Mei – 14 penumpang mengalami detik mencemaskan apabila bas ekspres yang mereka naiki tiba-tiba mengundur sejauh 700 meter sehingga menyebabkan kemalangan di Kilometer (KM) 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebelum Terowong Menara arah selatan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata kemalangan jam 2.20 pagi membabitkan tiga kenderaan berat iaitu bas berkenaan bersama dua treler itu mengakibatkan penumpang serta pemandu bas cedera ringan.
Memetik laporan Berita Harian, siasatan awal mendapati bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju Kajang, Selangor dalam cubaan memotong laluan treler dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun di lorong tengah ketika sedang mendaki.
Omar berkata, selepas memotong treler berkenaan, terdapat sebuah lagi treler dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun di lorong tengah di hadapan laluan bas itu.
“Selepas pelanggaran itu, bas hilang kawalan dan gagal berhenti lalu mengundur ke belakang secara menurun bukit menuju ke arah treler yang dipandu oleh lelaki berusia 48 tahun berkenaan yang ketika itu sudah menukar laluannya dari lorong kiri ke lorong tengah.
“Bas itu kemudiannya terus hilang kawalan dalam keadaan mengundur sejauh kira-kira 700 meter ke belakang dan melanggar pembahagi jalan lalu terhenti di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan.
Semua mangsa yang cedera ringan berusia antara 17 hingga 41 tahun dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan manakala 12 yang tidak cedera sudah meneruskan perjalanan ke ibu kota menaiki bas gantian. – nasionalkini.my