in

Guru, 7 pesilat cedera MPV rempuh lori

Keadaan MPV yang membawa tujuh pesilat lelaki dan seorang guru yang cedera selepas Proton Exora dinaiki merempuh sebuah lori di Kilometer 221 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, Alor Gajah, Melaka pukul 5.10 pagi tadi

ALOR GAJAH, 5 Jun – Tujuh pesilat lelaki dan seorang guru dari Kelab Silat Olahraga Ledang cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh lori di Kilometer 221 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian itu berlaku pukul 5.10 pagi ketika mereka dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Tangkak, Johor.

“Siasatan awal mendapati, MPV jenis Proton Exora dipandu lelaki berusia 36 tahun itu baru pulang dari pertandingan silat di Ara Damansara.

“Seramai tujuh pesilat dari Kelab Silat Olahraga Ledang berusia antara 16 hingga 21 tahun berada dalam kenderaan itu,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Exora yang berada di lorong paling kiri melanggar belakang sebuah lori yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya.

Impak kemalangan mengakibatkan pemandu dan tujuh penumpang MPV yang ketika itu sedang tidur mengalami cedera ringan.

“Mereka dihantar ke Zon Hijau Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.

Tambahnya, saksi kejadian yang juga pemandu MPV mendakwa lori dirempuhnya tidak memberhentikan kenderaan selepas kemalangan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – nasionalkini.my

IMG 20230605 WA0005

5 cedera nahas bas, lori ais

51685936681 TBIstanaNegara

839 terima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena Hari Keputeraan Rasmi YDP Agong