KUANTAN, 23 Jun – Sepasang suami isteri terkandas di kawasan berbatu di Teluk Tongkang berhampiran Teluk Cempedak, di sini, selepas tidak menyedari air laut pasang, petang semalam.
Pasangan terbabit dipercayai datang untuk berlibur di kawasan pantai itu dan terpaksa meminta bantuan Agensi Pertahanan Awam (APM) untuk kembali ke pantai.
Pengarah APM Pahang, (PA) Che Adam A. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.50 petang.
“Pasangan berkenaan masing-masing berusia 36 dan 38 tahun dipercayai pergi ke kawasan berbatu itu ketika air surut.
“Bagaimanapun mereka gagal untuk kembali ke darat selepas menyedari air laut sudah pun pasang sebelum menghubungi panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, lewat malam tadi.
Katanya, susulan itu, tiga anggota penyelamat APM terpaksa menggunakan bot untuk menyelamatkan pasangan berkenaan.
“Kedua mangsa berjaya dibawa ke pantai kira-kira 10 minit kemudian sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berada di pantai dan sentiasa peka dengan perubahan pasang surut laut bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya. – nasionalkini.my