Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 25 Julai – Satu pasukan khas diwujudkan di Melaka bagi mengurangkan kes tekanan mental pelajar di negeri ini susulan peningkatan kes menyayat hati melibatkan juvana.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, ia adalah penambah baikan daripada program Pembangunan Sahsiah Anak Yang Baik Lagi Cerdik (ABC) Melaka tiga tahun lalu.
“Task force yang sama ini kita akan perkasakan lagi termasuklah untuk melihat isu tekanan mental dalam kalangan pelajar termasuklah berkaitan dua insiden kematian juvana yang berlaku baru-baru ini.
“Kita tak menolah kemungkinan ia berlaku disebabkan ada elemen kesihatan mental terutamanya di sekolah berasrama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Penajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota di Bukit Serindit di sini, hari ini.
Rahmad berkata, pasukan ABC sebelum ini dilihat berjaya mengurangkan masalah sosial pelajar selepas tiga hingga enam bulan dilaksanakan.
“Sebab itu, selepas ini kita akan cuba mengadakan program ini dengan lebih kerap,” katanya.
Nasional kini awal bulan ini pada melaporkan seorang pelajar tingkatan dua mencekik adik lelakinya berusia sembilan tahun sehingga mati di Kampung Bukit Piatu dipercayai mengalami tekanan mental.
Pada 20 Julai lalu, seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah dilaporkan terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah.
Remaja berusia 14 tahun itu merupakan pesakit yang sedang menjalani rawatan psikiatri di Hospital Muar, Johor. – nasionalkini.my.