Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 23 Mei – Seorang duda tiga anak yang tergamak mengugut ibunya sendiri menggunakan pisau demi mendapatkan wang dijatuhi hukuman 24 bulan penjara di Mahkamah Majistret Melaka, di sini, hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Wira Md. Aris, 41, selepas dia yang bekerja sebagai nelayan membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya, Ara Sembok, 66, dengan maksud hendak menakutkannya menggunakan sebilah pisau dalam keadaan bengis dan marah untuk meminta wang.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang di ruang dapur sebuah rumah bernombor di Bertam Malim di sini pada 22 September 2022.
dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran selain perbuatan itu dilakukan tertuduh sambil tangannya memegang pisau.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab. Malek bagaimanapun dalam rayuan mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanyalah bekerja sebagai nelayan yang berpendapatan RM800 sebulan dan perlu menanggung tiga anak.
Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 24 bulan bermula dari tarikh ditangkap 18 Mei lalu. – nasionalkini.my