PUTRAJAYA, 25 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan berstatus ‘Datuk’ disyaki terlibat dengan dana meragukan bernilai lebih RM500 juta.
Individu berusia 42 tahun itu ditahan selepas dipanggil pihak SPRM bagi membantu siasatan, hari ini.
Menurut sumber, individu bergelar Datuk itu disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Ahli perniagaan itu ditahan bersama dua lagi individu awal pagi ini sebaik sahaja dipanggil oleh SPRM.
“Difahamkan setakat ini, mereka disiasat membabitkan dana meragukan bernilai lebih RM500 juta,” katanya.
Tambahnya, suspek turut dikenakan perintah reman oleh Mahkamah Shah Alam.
Sumber berkata, ahli perniagaan itu dipercayai terlibat dalam perniagaan pengurusan acara.
Selain itu katanya, Datuk tersebut turut terkenal dengan aktiviti membawa masuk artis asing bagi melakukan persembahan di dalam negara. – nasionalkini.my