in

Kumpulan pertama jemaah haji bertolak ke Tanah Suci

20230513 121424
Gambar hiasan

SEPANG, 21 Mei – Kumpulan pertama jemaah haji bagi Musim Haji 1444H/2023M, berlepas ke Tanah Suci jam 2.05 pagi tadi.

Seramai 284 bakal jemaah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seawal jam 10 malam tadi dan kesemua mereka menaiki penerbangan pesawat Malaysia Airlines, MH 8056.

Kumpulan jemaah berkenaan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah, jam 5.50 pagi waktu Arab Saudi (10.50 pagi waktu Malaysia).

Bagi meraikan Dhuyufurrahman (tetamu Allah), Lembaga Tabung Haji (TH) mengadakan Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia bagi Penerbangan Pertama (KT01).

Ia dihadiri Pengarah Urusan Kumpulandan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji TH merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Syed Hamadah ketika ditemui pada majlis itu berkata, tahun ini seramai 31,600 jemaah Malaysia akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat.

“Alhamdulillah, operasi haji tahun ini sudah kembali seperti sebelum wabak COVID-19 melanda.

“Insya-Allah TH bersedia menyantuni kesemua jemaah haji dengan kerjasama petugas haji termasuk kakitangan daripada agensi lain bagi memastikan perjalanan jemaah haji Tanah Air dan di Tanah Suci lancar,” katanya, lapor BH.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana masih meneruskan program Makkah Route yang memudahkan urusan pelepasan imigresen ketika di KLIA.

Pada acara pelepasan jemaah itu, pengurusan tertinggi TH turut beramah mesra dengan jemaah dan pemergian mereka turut diiringi bacaan doa.

TH turut memaklumkan, sebanyak 97 lagi penerbangan bakal menyusul secara berperingkat bagi membawa jemaah haji tanah air berbanding hanya 48 penerbangan bagi musim haji tahun lalu. – nasionalkini.my

SPRM siasat bekas menteri, tokoh perniagaan kes seleweng dana RM2.3 bilion

20230506 070816

WHO lancar rangkaian global bantu kesan ancaman penyakit berjangkit