KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kabinet awal tahun ini memutuskan Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata baru-baru ini sebaik pulang dari lawatan kerja di Paris dan Algeria, beliau dimaklumkan mengenai hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sekali lagi meminta supaya PERNAS diletakkan di bawah kementerian itu.
Bagaimanapun katanya, beliau menghormati keputusan dicapai melalui perbincangan bersama Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Disember tahun lalu.
“Perdana Menteri mengatakan ‘status quo’ supaya PERNAS akan terus berada di KUSKOP manakala KPDN pula akan terus memegang portfolio sebagai kementerian yang bertanggungjawab kepada akta francais dan yang mengawal selia industri francais.
“Dari segi sektor pembangunan keusahawan francais pula, diletakkan di bawah PERNAS iaitu agensi yang telah dimuktamadkan sebagai agensi di bawah KUSKOP,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, lapor BH.- nasionalkini.my