Oleh Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 28 Mei – Seorang guru wanita dari bandar raya ini mengalami kerugian RM137,000 selepas ditipu suspek menyamar sebagai anggota polis pada 10 Mei lalu.
Mangsa berusia 36 tahun mendakwa dihubungi suspek yang menyamar sebagai polis dari Bukit Aman pada tarikh berkenaan memaklumkan mangsa terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, suspek mengarahkan mangsa memindahkan semua wang dimilikinya ke satu akaun bank untuk memudahkan proses siasatan.
“Suspek juga memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai waran tangkap.
“Mangsa yang bimbang akan dikenakan tindakan tegas mengikut arahan diberikan suspek dan memindahkan wang ke akaun seperti diarahkan.
“Suspek juga meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan untuk melengkapkan siasatan kes itu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Yahaya berkata, mangsa juga membuat pinjaman peribadi berjumlah RM130,000 seperti diarahkan suspek dan memindahkan wang itu ke akaun terbabit.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas semua wang dalam akaun itu lesap dan membuat laporan polis,” katanya lagi.
Laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Yahaya sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan pelbagai taktik dilakukan sindiket penipuan dan menghubungi pihak berkuasa sekiranya menerima panggilan mencurigakan. – nasionalkini.my