KUALA LUMPUR 5 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan pasukan Task Force dalam melaksanakan operasi bersepadu yang dikenali Ops Manis di negeri-negeri Pantai Timur.
Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, operasi berkenaan akan dilaksanakan selama tujuh hari bermula 3 Mei lalu bagi memulihkan gangguan bekalan gula di Kelantan dan Terengganu.
Tambah beliau, usaha itu melibatkan setiap rantaian pembekalan, memastikan tidak berlaku pembelian panik dan memastikan pematuhan undang-undang dipraktik oleh setiap peniaga.
“Pemantauan keatas keberadaan inventori stok penimbal gula di kilang atau gudang penyimpanan serta memastikan tiada isu penyeludupan gula ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, hari ini, pihaknya melakukan operasi di kedua-dua negeri itu dengan 116 permis diperiksa melibatkan pemborong dan peruncit.
Tambah beliau, jumlah pengedaran gula dari kilang ke pemborong utama di Kelantan sebanyak 147, 840 kilogram (kg) dan Terengganu (269,528 kg).
“Jumlah pemborong utama di Kelantan adalah seramai 17 manakala Terengganu, 19. Untuk hari ini, pihak kami menerima dua aduan berkaitan isu itu manakala bilangan kes dan kompaun tiada,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, hasil daripada pasukan Task Force Kelantan hari ini menyaksikan sebanyak 280 premis melibatkan 263 pemborong atau peruncit dan 17 pasar raya diperiksa.
Azman berkata, Task Force KPDN Terengganu menyaksian sebanyak 148 premis diperiksa melibatkan pemborong, peruncit dan pasar raya telah menerima bekalan hasil edaran daripada 10 pemborong utama negeri itu. – nasionalkini.my