KUALA LUMPUR 5 Mei – Pentadbiran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memandu ekonomi dengan memperkenalkan dasar-dasar baharu dan drastik untuk melonjak ekonomi negara keluar daripada krisis ekonomi.
Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia, Armin Baniaz Pahamin berkata, dasar baharu perlu diperkenalkan untuk membangun industri tempatan melalui eksport supaya dapat mengimbang transaksi perdagangan ekonomi.
Menurut beliau, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan menyaksikan negara mengambil risiko pengucutan ekonomi yang boleh membawa kepada kegawatan.
“Adalah lebih baik kita bersedia dengan menjadual semula pembayaran pinjaman dan membatalkan kad-kad kredit untuk menjaga rekod kewangan demi masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 3 Mei lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus.
Menurut kenyataan BNM itu, ekonomi global terus didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan kepada pasaran pekerja yang teguh serta pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Armin berkata, kerajaan sepatutnya melihat masalah utama yang dihadapi masyarakat iaitu kenaikan harga barang.
Tambahnya, antara faktor yang mendorong kenaikan itu ialah nilai mata wang ringgit semakin lemah dan menyebabkan barangan import menjadi mahal.
Katanya, ringgit semakin susut nilai kerana berada dalam pasaran berbentuk tunai yang banyak termasuk dana stimulus fiskal dan RM145 bilion daripada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pandemik Covid-19.
Malah katanya, kadar pinjaman perumahan, kad kredit, overdraf dan pinjaman kereta baharu akan menjadi lebih mahal dan ini akan membendung perbelanjaan.
Sebagai salah satu negara dengan hutang isi rumah tertinggi di Asia, Arman berkata, sebahagian besar rakyat akan terkesan dengan kenaikan OPR itu.
“Ramai individu dan isi rumah dijangka malah telah terjejas menguruskan perbelanjaan melibatkan makanan, utiliti dan pendidikan anak-anak,” katanya. – nasionalkini.my