Yusuf Shafie
MELAKA, 5 Mei – Seorang suri rumah warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyerang dan menghalang tugas seorang pegawai polis, bulan lalu.
Tertuduh, Nguyen Thi Cam Nhung, 28, bagaimanapun hanya mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua, namun ditolak Majistret Nabilah Nizam kerana keputusannya yang tidak konsisten.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa dengan niat menyerang dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap Inspektor Mohd Shahrol Firdaus Senawi menggunakan sebilah gunting.
Difahamkan, tindakan itu berlaku ketika wanita pegawai polis berkenaan datang dan cuba meleraikan pergaduhan antara tertuduh dan teman lelakinya.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menghalang tugas rasmi seorang penjawat awam jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Silverscape Resident, Element Mall, Jalan Syed Abdul Aziz dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 9.30 malam 16 April lalu.
Majistret Nabilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin warganegara.
Kes akan disebut semula 13 Jun ini bagi serahan dokumen serta menyediakan jurubahasa Vietnam. – nasionalkini.my