Oleh : Adnan Mohamad
SETIU, 12 Mei – Mencari telur tuntung sungai di pesisir pasir bermula dari Kampung Penarik hingga Kampung Mangkok, di sini, dianggarkan sepanjang 10 kilometer bukanlah suatu pekerjaan yang mudah serta menyenangkan.
Tugasannya mencari telur haiwan itu di sepanjang sungai kampung tersebut adalah bagi diserahkan kepada Perhilitan dieramkan dan dipulihara selama setahun di Pusat Konservesi Hidupan Liar (PKHL) Bukit Paloh, Hulu Terengganu sebelum anak-anak tuntung itu dilepaskan ke habitat asalnya.

Seorang nelayan Kampung Mangkok, Mohd Afir Zahani, 43, berkata, tuntung sungai biasanya bersarang di dalam pasir di pinggir sungai atau kawasan berpasir yang bersesuaian dengan haiwan itu.
Menurutnya, apabila ia tersempak dengan manusia menyebabkan tuntung sungai itu tidak akan bertelur lalu turun semula ke dalam air.
“Hal ini mengakibatkan saya terpaksa mengejar tuntung itu di dalam air dan menangkapnya akhirnya dibawa semula ke daratan dan reptilia ini tidak mengganas, ” katanya ketika ditemui di Kampung Mangkok di sini, hari ini.
Mohd Afir dilantik oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sebagai pengutip telur haiwan sejak empat bulan lalu.
Meskipun pekerjaan itu adakalanya mencabar baginya tetapi dia tetap berbangga menjadi Sahabat Alam Malaysia (SAM) bagi generasi akan datang supaya haiwan itu tidak pupus akibat akiviti sungai yang dilakukan oleh manusia.
“Selama saya terlibat dengan kegiatan ini, saya pernah terjumpa seekor tuntung sungai tidak mempunyai sebelah kaki dan mungkin juga sebelah kakinya lagi hilang akibat reptilia itu semasa kecil tersangkut di pukat yang dipasang nelayan bagi mereka menangkap ikan, ” katanya – nasionalkini.my