Oleh Yusuf Shafie
MELAKA, 12 Mei – Seorang pengasas dan adiknya yang juga warden sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak dan Alor Gajah di sini ditahan polis bagi membantu siasatan kes cabul, seks luar tabii dan mendera enam pelajar tahfiz berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kedua-dua suspek iaitu pemilik pusat bimbingan al-Quran itu berusia 40 tahun dan adik lelakinya berusia 36 tahun itu di tahan di pusat tahfiz berkenan di Tanjung Minyak antara pukul 1 hingga 1.30 tengah hari tadi.
Katanya, penahanan itu dibuat selepas polis menerima enam laporan dibuat oleh ibu bapa enam pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun itu antara pukul 6.29 petang semalam hingga 9.13 malam tadi.
“Dalam kejadian terbaharu pada 7 Mei lalu, tiga pelajar mendakwa telah dicium, diarah menghisap dan mengurut kemaluan mudir iaitu suspek pertama berusia 40 tahun warga Singapura yang juga pengetua atau pengasas pusat tahfiz berkenaan.
“Manakala tiga lagi pelajar dikatakan telah didera secara fizikal kerana enggan menuruti arahan lain dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh suspek kedua.
“Suspek kedua adalah adik lelaki kepada pengasas berkenaan 36 tahun yang merupakan warden asrama,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, semua kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah pusat bimbingan tahfiz di Tanjung Minyak dan juga Alor Gajah serta sebuah kondominium di Klebang, Melaka.
“Semakan lanjut mendapat, suspek pertama mempunyai dua rekod lampau iaitu Seksyen 377B Kanun Keseksaan (kesalahan meliwat) dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (amang seksual fizikal) manakala adiknya tiada rekod kesalahan lalu.
“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Seksyen 14(a) memperuntukan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan manakala bagi Seksyen 31(1)(a), pesal boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, tinjauan nasionalkini di madrasah berkenaan mendapati, ia beroperasi seperti biasa. – nasionalkini.my