Oleh Aimi Isma
ALOR SETAR, 5 Julai – Seramai 54 suspek dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan atas talian (phone scam) berjaya ditahan dalam satu serbuan di kawasan Perusahaan Mergong 2, Alor Setar, Isnin lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata kesemua suspek berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan jam 6 petang di premis yang dijadikan sebagai pusat panggilan kegiatan penipuan itu.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang turut dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi melakukan serbuan berkenaan.
“Hasil serbuan, polis berjaya menahan 54 suspek iaitu seorang wanita warganegara Taiwan, dua lelaki warganegara Bangladesh, 19 lelaki warganegara Taiwan, 29 lelaki warganegara China serta tiga lelaki tempatan,” katanya pada sidang media di IPK Kedah, di sini, hari ini.
Beliau berkata sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama empat bulan dan menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pegawai dari agensi penguatkuasa sebelum memaklumkan bahawa akaun bank mangsa sedang disiasat dan akan dibekukan.
“Mangsa kemudiannya akan diminta untuk memindahkan wang mereka ke dalam akaun bank yang diberikan oleh pihak sindiket dan sasaran mangsa mereka adalah dari negara China dan Taiwan.
“Polis turut merampas sebuah kereta, sebuah lori, komputer riba, telefon bimbit, router, mesin pencetak, kertas skrip serta kertas yang mengandungi nombor akaun bank negara China.
“Kita juga sedang mengesan dua orang saksi iaitu pemilik premis dan pemilik syarikat kenderaan yang dipercayai dapat membantu siasatan kes,” katanya.
Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 55B(1) akta yang sama. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN