BATU PAHAT, 10 Jun – Penantian kira-kira enam bulan keluarga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Musthafa Kamal Abdullah, 49 tahun yang dilaporkan hilang di Mekah berakhir selepas dia disahkan sudah meninggal dunia.
Pengesahan kematian jemaah yang hilang sejak 12 Disember lalu ketika menunaikan umrah dibuat Kedutaaan Malaysia semalam.
Walaupun pahit untuk diterima, keluarga Allahyarham reda dan menganggapnya sebagai ketentuan Allah, apatah lagi meninggal dunia di tempat diimpikan oleh semua umat Islam.
Anak sulung Allahyarham, Muhammad Nabil, 26, berkata, dia sekeluarga menerima pengesahan itu daripada Kedutaan Malaysia kira-kira pukul 11.40 pagi semalam.
Katanya, solat jenazah ghaib dilakukan selepas solat Jumaat.
Katanya, dalam masa sama mereka berasa lega dengan pengesahan itu setelah hampir enam bulan menanti perkhabaran berkaitan kehilangan arwah bapanya.
“Saya diberitahu oleh pihak kedutaan di sana yang ayah sebenarnya meninggal dunia pada 13 Februari lepas melalui pengesahan biometrik.
“Semua pengurusan jenazah telah selesai termasuk pengkebumiannya.
“Kini saya bersama ibu, adik beradik dan ahli keluarga yang lain hanya menunggu dokumen pengesahan kematian ayah selain agak terkilan kerana proses pengesahan kematian itu agak lama,” katanya ketika ditemui Utusan di kediaman keluarganya di Sri Gading, di sini, hari ini.
Nabil yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu berkata, selain menunggu dokumen pengesahan kematian, mereka sekeluarga juga menantikan punca sebenar kematian bapanya serta lokasi arwah menghembuskan nafas yang terakhir.
Ujarnya, dia berhasrat membawa ibu dan empat adiknya menziarahi pusara arwah bapa yang disemadikan di sebuah tanah perkuburan di Mekah dalam masa terdekat.
“Saya menganggap kejadian ini ada hikmah di sebaliknya dan bersyukur ayah meninggal dalam keadaan yang baik (berihram) serta dalam bulan yang baik (Rejab),” katanya.
Terdahulu, pada 6 Disember tahun lalu, Musthafa dilaporkan ke Mekah untuk menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz, 17 dan dijangka pulang pada 18 Disember, namun dilaporkan hilang pada 12 Disember.
Muhammad Nabil serta Muaz kemudiannya ke Mekah pada 20 Jan lepas bagaimanapun usaha mencari itu menemui jalan buntu. – nasionalkini.my