Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kejayaan terkini diraih Ernie Zakri sangat bermakna kepada dirinya.
Jelas penyanyi itu, dia tak sangka wajahnya dipilih menghiasi papan iklan digital tersohor di New York Times Square.
“Saya tak pernah terbayang satu hari nanti wajah saya akan terpampang di papan iklan digital New York Times Square yang memang dikenali seluruh dunia.
“Semestinya, saya sangat gembira dengan berita ini. Alhamdulillah, ia sememangnya salah satu kejayaan terbesar dalam kerjaya saya sebagai seorang penyanyi solo,” katanya bila mendapat tahu tentang berita tersebut.
Penampilan Ernie pada papan iklan digital tersebut adalah sebagai wakil penyanyi Malaysia dalam kempen Equal oleh wadah penstriman muzik digital, Spotify.
Equal merupakan program anjuran Spotify yang memperjuangkan kesamaan dalam mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.
Sejajar dengan tema tersebut, Ernie sempat mengulas mengenai topik berkenaan.
“Saya sentiasa ingin menjadi versi terbaik diri saya. Kebanyakan lagu saya membawa pesan pemerkasaan wanita. Dan inilah yang ingin saya laungkan. Mimpi boleh menjadi kenyataan jika kita bekerja dengan bijak. Banyak yang telah saya pelajari.
“Dulu saya fikir bekerja keras adalah kunci segalanya, tapi kini setelah bergelar ibu dan isteri saya mengerti bahawa saya perlu bekerja dengan bijak jika ingin mengecapi keseimbangan dalam hidup dan kerjaya. Akhirnya, penguat semangat dan pendorong saya adalah keluarga tercinta,” jelasnya panjang lebar.
Terkenal dengan kemantapan vokal yang hebat, Ernie gembira melihat segala penat lelahnya kini membuahkan hasil. Kejayaan terbaharu ini adalah salah satu daripadanya.
Ernie turut berkongsi bahawa tahun ini telah membuahkan banyak kenangan manis buatnya secara peribadi. Malah, Ernie mempunyai banyak perancangan untuk tahun 2023.
“Saya bercadang untuk menghasilkan lebih banyak lagu dan juga mungkin sebuah album pada hujung tahun ini. Banyak yang sudah saya rancangkan jadi tolong doakan semuanya dimudahkan,” sambungnya lagi.
Ernie menyambung legasi papan iklan New York Times Square in selepas beberapa nama besar sebelumnya seperti Yuna, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dolla, Vanessa Reynauld dan beberapa lagi. – nasionalkini.my