in

22 tahun menipu akhirnya makan diri

WhatsApp Image 2023 06 12 at 7.24.46 PM 1
Norliza didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret Melaka kerana menipu daftar kelahiran anak saudaranya 22 tahun lalu.

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 12 Jun – Tembelang seorang wanita mengemukakan maklumat palsu bagi permohonan pendaftaran kelahiran anak saudaranya 22 tahun lalu terbongkar menyebabkannya didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Norliza Sahari, 39, selepas pekerja ladang kelapa sawit itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendaftarkan kelahiran Muhammad Faizul Hakimie dengan mengisi maklumat kad pengenalan atas nama Diana Mohamed, 43, sebagai ibu kandung di dalam borang permohonan pendaftaran kelahiran.

Perbuatan itu yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 36(b) Akta Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dilakukan tertuduh di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada pukul 9.56 pagi 9 Julai 2001.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan penipuan itu terbongkar ketika Muhammad Faizul Hakimie hadir ke JPN Bentong, Pahang untuk membuat kad pengenalan pertama tanpa ditemani ibunya pada 2021.

Hasil siasatan JPN, Diana Mohamed mengesahkan dia tidak mempunyai anak sebelum membuat laporan polis mengenai butiran kad pengenalannya digunakan orang lain.

Berdasarkan fakta kes, hasil siasatan JPN Bentong kemudian mendapati tertuduh mengaku secara lisan bahawa penama Muhammad Faizul Hakimie adalah anak saudaranya.

Tertuduh juga mengaku remaja berkenaan dan bukan anak kandung Diana yang dinyatakan dalam borang permohonan (JPN.LM01) Nombor Daftar Kelahiran AW54721.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN Zukarnain Ahmad dan Mat Razali Samsuddin memohon hukuman setimpal sebelum tertuduh yang berasal dari Triang, Pahang yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah mengarahkan tertuduh didenda RM2,000 atau 12 bulan penjara jika gagal bayar. – nasionalkini.my.

353447105 650764330418907 2496814610962277538 n

Tiga maut akibat denggi minggu lalu

WhatsApp Image 2023 06 12 at 7.07.28 PM

Elak jadi mangsa scammer, beli kenderaan di premis bukan dalam talian