in

Suami isteri buntu anak hidap sakit saraf

Mohd Basir berkata, keadaan Ahmad Arfan Farhat tidak membolehkan dia dan isteri sama-sama bekerja kerana salah seorang perlu membantu menguruskan anak mereka itu di rumah

KUALA TERENGGANU, 21 Julai – Bukan hanya terlantar seperti bayi, Ahmad Arfan Farhat Mohd Basir juga tidak dapat melihat kerana menghidap penyakit saraf Adrenaleukody Strophyzx-Linked.

Lebih menyedihkan apabila Ahmad Arfan Farhat, 13, yang dilahirkan normal juga tidak dapat ke sekolah sejak empat tahun lalu akibat penyakit itu.

Bapanya, Mohd Basir Mohd Nor, 41, berkata, dia dan isteri, Aizan Md Shah, 41, sudah berikhtiar bermacam cara termasuk ke hospital dan klinik swasta bagi mencari penawar buat anak sulung mereka itu, namun belum ditakdirkan sembuh.

“Banyak tempat sudah kami pergi, tetapi tak nampak perubahan, malah doktor kata penyakit anak tidak boleh dirawat dan tiada ubat.

“Fisioterapi juga tidak boleh membantu dan doktor pernah meramalkan jangka hayat anak boleh hidup 10 tahun saja daripada tarikh dia disahkan ada penyakit itu.

“Nak kata tak sedih tipu lah, kerana sebagai manusia biasa memang ada perasaan itu, tapi nak lari ke mana kerana Allah sudah tetapkan takdirnya begitu.

“Jadi, saya dan isteri pujuk hati untuk reda dan jalani kehidupan macam biasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Penyakit dihidap Ahmad Arfan Farhat sukar pulih

Bercerita lanjut, Mohd Basir berkata, Ahmad Arfan Farhat dulunya seorang kanak-kanak yang aktif dan cerdik cuma pendiam.

Bagaimanapun, segalanya berubah selepas mengalami simptom penglihatan kabur ketika berumur sembilan tahun.

“Simptom itu jadi dengan tiba-tiba dan ketara apabila Arfan (nama panggilan) menulis pun jadi senget. Menyedari ada yang tidak kena mendorong saya dan isteri bawa Arfan ke hospital.

“Hasil ujian Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) dijalankan mendapati Arfan ada penyakit saraf. Dalam tempoh lima bulan, kesihatannya merosot dan akhirnya terlantar hingga tak dapat bersekolah,” katanya.

“Memandangkan saya ketua keluarga jadi saya yang keluar bekerja. Lagipun, kalau isteri bekerja, Arfan perlu dihantar ke pengasuh namun siapa yang sanggup menjaganya dengan keadaan begitu kerana orang tak akan terima.

“Buat masa ini kami guna duit sendiri saja untuk keperluan Arfan walaupun tak cukup sebenarnya kerana perlu sara dua anak lain,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 162432908321 atas nama Mohd Basir Mohd Nor atau menghubunginya di talian 013-211 9447.- nasionalkini.my

20230511 090324

Hamzah dakwa Saifuddin pernah rayu batal keputusan pemilihan PKR

Dua sepupu didakwa tipu tauke beras