KLANG, 25 Julai – Polis menahan suspek dipercayai terbabit dalam kebakaran sebuah bengkel motosikal di Kapar dekat sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 25 tahun itu ditahan di Jalan Bukit Kapar kira-kira jam 2 petang.
Katanya, pihaknya menerima laporan jam 8.53 pagi berkaitan kejadian khianat bakar sebuah bengkel motosikal.
“Bertindak atas maklumat, tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terbabit dalam jenayah khianat terbabit.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan semakan polis mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor BH.
Beliau berkata, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Klang esok bagi permohonan reman.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.- nasionalkini.my