FORT LAUDERDALE, 25 Julai – Pemenang Piala Dunia, Lionel Messi akan menjadi kapten baharu Inter Miami, kata jurulatih kelab Major League Soccer (MLS) itu Gerardo Martino.
Messi, yang menyertai Miami awal bulan ini, memakai lilitan kapten pada penampilan sulungnya dalam aksi Piala Liga-Liga menentang kelab Mexico, Cruz Azul minggu lalu, yang mana penyerang Argentina itu menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan.
Pemain tengah Brazil, Gregore adalah kapten terdahulu kelab itu tetapi dia terpaksa diketepikan dalam tempoh lama kerana kecederaan kaki.
Ditanya jika Messi akan terus menjadi kapten Miami, Martino memberitahu wartawan: “Hari itu dia menjadi kapten juga, apabila dia masuk. Ya, dia akan meneruskannya.”
Messi dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama apabila Miami berdepan Atlanta United pada aksi kedua dan terakhir kumpulan Piala Liga-Liga awal pagi esok.
Martino memilih untuk tidak memulakan Messi dan pemain tengah Sepanyol, Sergio Busquets minggu lalu namun dengan kedua-dua pemain menyerlah, bekas jurulatih Barcelona itu bercadang menurunkan kedua-duanya menentang bekas kelabnya.
“Ya, ada kemungkinan Leo dan Busi akan bermain lebih banyak minit. Malah saya memikirkan jika mereka dapat banyak minit permainan kami akan lebih dinamik dan mereka mungkin bermula dari awal.
“Tapi kita semua tahu apabila Leo bermula, masa yang kami fikirkan mengenainya adalah 90 minit,” katanya.
“Namun semuanya bergantung kepada apa yang mereka rasa, ia baru perlawanan kedua buat mereka berdua.”
Kemenangan awal pagi esok di Stadium DRV PNK akan memastikan Inter layak ke peringkat kalah mati kejohanan baharu menampilkan kelab MLS dan Liga MX Mexico.- nasionalkini.my