KUALA LUMPUR, 9 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 hari ini, mencatat sejarah dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kembali menjejakkan kakinya ke persidangan itu selepas 25 tahun.
Kali terakhir Perdana Menteri itu berucap pada PAU adalah pada 1998 sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Beliau dipecat daripada UMNO pada 3 September 1998 dan sejak itu, bangunan itu adalah asing baginya untuk dikunjungi.
Hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), yang juga Presiden PKR itu hadir ke PAU 2023, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai tetamu kehormat, lapor BH.
Beliau yang memakai baju Melayu berwarna biru, tiba pada jam 9.15 pagi dan diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Selain Anwar, turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, yang juga Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Pemimpin PH lain turut serta iaitu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
PAU 2023 yang diadakan selama empat hari bermula Rabu lalu, dihadiri seramai 6,341 perwakilan, turut membabitkan 1,159 orang daripada sayap Wanita, Pemuda (1,160) dan Puteri (1,134). – nasionalkini.my