KUALA LUMPUR, 20 Mei – Filem Anwar: The Untold Story berjaya mencatat jumlah kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangannya pada Khamis.
Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, pihaknya tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan.
“Kami bersyukur filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini meraih sambutan luar biasa. Lebih menggembirakan rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding filem antarabangsa.
“Filem ini menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pula pada masa depan. Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap filem biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup,” katanya, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem ini, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur sambutan luar biasa yang diterima.
“Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang untuk menonton filem ini.
“Kami berharap sambutan terhadap filem Anwar: The Untold Story akan berterusan kerana kami mensasarkan kutipan tinggi untuk filem ini,” katanya.
Anwar: The Untold Story yang dibintangi Farid Kamil dan Acha Septriasa mengisahkan mengenai perjuangan dan pengorbanan Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail.
Filem memfokuskan bagaimana Anwar tegas menolak pelbagai jenis imbuhan dan wang tunai menyebabkan dia difitnah dalam konspirasi besar hingga dipecat, dipukul secara ganas dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan sehingga beberapa hari.
Filem biopik dengan latar masa antara tahun 1993 hingga 1998 berdurasi 108 minit itu ditayangkan di lebih 1,000 skrin membabitkan 120 pawagam di seluruh Malaysia. – nasionalkini.my