Oleh Putera Azim
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Tayangan perdana filem “Anwar: The Untold Story” yang diadakan di Dadi Cinema Pavillion Kuala Lumpur malam ini meriah dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau ditemani isterinya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tiba di lokasi tayangan kira-kira pukul 8.15 malam ini.

Lebih gamat apabila kehadiran Perdana Menteri itu disambut meriah dengan kehadiran orang ramai yang melaungkan perkataan “Reformasi” yang menjadi simbolik kepada beliau.
Turut hadir pada majlis anjuran DMY Creation yang juga pengedar rasmi filem itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Selain itu, terdapat kira-kira 250 tetamu kehormat termasuk selebriti terkenal yang turut hadir pada tayangan filem perdana berkenaan termasuklah Datuk Yusof Haslam, Datuk M. Nasir , Datuk Seri Siti Nurhaliza dan beberapa selebriti lain.

“Anwar: The Untold Story” ialah filem arahan pengarah dari Indonesia, Viva Westi yang akan ditayangkan di seluruh negara mulai 18 Mei ini.
Filem yang menelan kos RM10 Juta itu dibintangi pelakon popular tanah air seperti Farid Kamil Zahari yang menerajui watak utama sebagai Datuk Seri Anwar, manakala aktres Indonesia, Acha Septriasa membawa watak sebagai Dr Wan Azizah Ismail.

Filem berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 itu, menceritakan mengenai jatuh dan bangun perjalanan hidup Datuk Seri Annwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu. – nasionalkini.my