Oleh Hajidah Miharbi
KUALA LUMPUR 16 Julai – Finalis penyampai radio popular DJ Lin melahirkan rasa penghargaan buat semua peminat yang berhabisan mengundi dirinya sehingga ke saat akhir lewat malam tadi.
Penyampai rancangan popular Suria Cinta di Suria FM itu berkata, dia terharu dengan sokongan berterusan sejak nama dicalonkan dalam persaingan Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABPBH35).
“Setiap hari ada saja yang beritahu mereka undi saya dan menyatakan sokongan terutamanya peminat Suria Cinta.
“Saya bertuah dengan rezeki kasih sayang yang sentiasa ada daripada peminat sejak 17 tahun lalu,” katanya dalam misi mempertahankan anugerah kategori penyampai radio popular untuk kali kelima tahun ini.
DJ Lin turut berterima kasih kepada keluarga dan insan-insan kesayangan yang sentiasa mendoakan dan berusaha membantu dirinya dalam menjayakan kempen sepanjang proses undian berjalan.
Pemilik nama sebenar Roslinda Abd Majid yang juga Pengurus Besar Suria FM berkata, dia percaya restu dan doa arwah ibunya juga antara faktor kejayaannya pada hari ini.
Bukan sahaja popular, DJ Lin, 47, juga pernah dinobatkan sebagai penyampai radio terbaik dan dipercayai, dari pengiktirafan tempatan juga antarabangsa.
“Saya percaya restu ibu dan keikhlasan dalam melakukan kerja akan sentiasa membuahkan hasil tanpa terlalu mengharapkan balasan.
“Saya juga yakin keputusan berhijab membuka banyak lembaran baharu dan pintu rezeki buat saya, alhamdulillah,” katanya.
DJ Lin juga menyerahkan segalanya kepada rezeki dan gembira kerana masih berada dalam Top 5 pencalonan anugerah berkenaan bersama Tyzo, Haiza, DJ Sonic dan Johan.
“Ada yang minta saya beri laluan, pada saya semua ini hadiah peminat dan mereka yang memilih dan menyokong saya.
“Tidak manis untuk saya hampakan, pada saya bersaing secara sihat dan sama-sama memeriahkan industri penyiaran negara.
“Lagipun negara kita tidak ada banyak penganugerahan jadi wajar untuk kita semua sokong serta raikan,” katanya.
Pada masa sama, DJ Lin juga berkongsi berita gembira segmen Suria Cinta kelolaannya berjaya mendapat tajaan produk ternama.
Dia berkata, Suria Cinta dibawakan oleh Narqes sejak bulan ini.
Sejak 24 tahun bergelar penyampai radio, anak kelahiran Johor ini sudah mendapat 13 anugerah yang menghargai kerjayanya itu. -nasionalkini.my