ILLINOIS – Seorang maut dalam insiden tembakan rambang yang mengenai 20 orang mangsa di luar sebuah pasar raya tengah malam tadi ketika sambutan Juneteenth di Willowbrook, Amerika Syarikat.
Dalam kejadian pada 12.30 tengah malam itu, dianggarkan lebih 300 pengunjung berkumpul di kawasan parkir bersebelahan Route 83 berdekatan laluan Honeysuckle sempena sambutan Hari Bapa dan Juneteenth.
Menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan, salah seorang daripada mangsa disahkan maut akibat terkena tembakan manakala dua daripada mangsa dilaporkan cedera parah.
Ketua Batalion Bomba, Joe Ostrander berkata, mangsa-mangsa yang mengalami pelbagai peringkat kecederaan dihantar ke empat hospital berhampiran menggunakan 12 buah ambulan.
Selain itu katanya, beberapa mangsa juga dipercayai dihantar ke hospital menggunakan kenderaan orang ramai.
Saksi, Markeshia Avery berkata, kejadian berlaku tanpa sebarang amaran dan sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan, orang ramai mula melarikan diri dan berbaring.
“Semuanya berlangsung dalam keadaan normal seperti tahun-tahun sebelum ini sehinggalah tembakan dilepaskan dan jeritan kedengaran di sana-sini,” katanya.