TEBING BARAT, 10 Julai – Penduduk Palestin kini menjalani kehidupan dalam ketakutan apabila menjadi mangsa serangan orang awam Israel yang mencemarkan bekalan air minuman mereka selepas menyerbu penduduk Badwi Arab Al-Kaabneh, di sebelah barat Jericho di Tebing Barat.
Aktivis Palestin, Hasan Mlaihat berkata, sekumpulan peneroka haram menyerang penduduk Palestin, selain membiarkan lembu meragut tanaman milik Palestin sehingga menyebabkan kerosakan.
Peneroka Israel turut bertindak zalim dengan mencampakkan bahan yang tidak diketahui ke dalam tangki air penduduk sehingga mengakibatkan pencemaran terhadap air minuman penduduk berkenaan.
Sementara itu di wilayah Nablus, peneroka haram Israel membakar puluhan tanaman milik penduduk Palestin di kampung Lubban esh-Sharkiya.
Sementara itu, Ketua kampung, Yaacob Eweis berkata, peneroka Israel membakar kawasan besar tanah pertanian yang menyebabkan kerosakan kepada tanaman dan puluhan pokok zaitun.
Yaacob menggesa institusi antarabangsa dan hak asasi manusia untuk segera campur tangan bagi menghentikan serangan peneroka ke atas kampung serta tanah pertanian di wilayah berkenaan. – Agensi