Oleh Ahmad Abd Hamid
HIDUP dalam bandar raya serba moden seperti Kuala Lumpur memang mengujakan. Selain bangunan pencakar langit serta gedung membeli belah, segala kemudahan ada, baik daripada segi kesihatan, pengangkutan, beribadat, bersantai dan berhibur.
Namun di sebalik semua menjadi keselesaan dinikmati oleh warga kota, ada kesan tersendiri yang terpaksa dihadapi dalam mengharungi kehidupan di kota metropolitan.
Kerana ibu kota lengkap dengan pelbagai kemudahan serta menawarkan peluang ekonomi yang lebih banyak berbanding tempat lain, ia menjadi daya tarikan orang ramai dari seluruh negara untuk mencuba nasib mencari rezeki.
Lantaran itu, ibu negara yang sememangnya sudah sesak menjadi semakin sesak. Pelbagai isu yang dihadapi oleh warga kota, misalnya kos sara hidup yang tinggi, masalah perumahan dan kesesakan lalu lintas jadi semakin serius.

Bagi mereka yang kuat semangat mungkin mampu menghadapi ini semua walau pun dalam kesempitan dan kepayahan. Namun yang mudah tertekan serta tidak cukup kuat mental mungkin berdepan bahana kesihatan mental.
Memetik Pakar Psikiatri dan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj, berbanding tinggal di kampung, penduduk di ibu kota lebih mudah mengalami gangguan emosi. Ini seterusnya menimbulkan gejala kesihatan mental.

Hakikat ini mudah difahami kerana dalam suasana kos sara hidup yang tinggi, warga kota perlu bekerja lebih gigih untuk memperoleh pendapatan lebih bagi memenuhi keperluan. Jika gagal, ia menyebabkan tekanan yang membawa kepada stres dan menganggu mental.
Contoh yang boleh diambil ialah ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu sektor ekonomi lumpuh. Banyak syarikat terpaksa gulung tikar dan ramai hilang kerja.
Ini merupakan detik sukar kepada warga kota khususnya. Kehidupan tetap perlu diteruskan dan keperluan perbelanjaan untuk keluarga perlu dibereskan. Di mana hendak mencari wang jika sumber pendapatan sudah terputus? Memang kerajaan ada memberi bantuan kewangan dan makanan tetapi tidak mencukupi.
Cabaran seperti inilah yang perlu dihadapi oleh warga kota. Peralihan kepada fasa endemik mulai April 2022 mewujudkan keadaan lebih baik. Ekonomi lebih rancak dan ramai kembali mendapat pekerjaan.
Namun isu kepayahan hidup ibu kota berterusan, terutama bagi yang berpendapatan rendah. Justeru isu stres dan kesihatan mental terus wujud.

Mac lalu Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sendiri mendedahkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai jumlah penduduk tertinggi dilanda kemurungan dan kebimbangan berbanding negeri lain. Antara punca utamanya iakah kos sara hidup yang tinggi.
Menurutnya, hasil saringan kesihatan mental oleh Kementerian Kesihatan terhadap 336,990 individu pada 2022 di seluruh negara mendapati 70 peratus daripadanya adalah warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.