in ,

Bergaduh ketika bawa anak ke klinik, duda didenda RM1,000

IMG 20230601 WA0042
Syazwan Izzuddin Samsudin didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isterinya ketika ingin membawa anak mereka ke sebuah klinik di Taman Cempaka, tahun lalu.

Oleh Yusuf Shafie

MELAKA, 1 Jun – Seorang duda didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isterinya ketika ingin membawa anak mereka ke sebuah klinik di Taman Cempaka, tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Syazwan Izzuddin Samsudin, 30, yang membuat pengakuan bagi pertuduhan pilihan itu selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Norfarhana Azlin Azman, 24, yang ketika itu merupakan isterinya dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kiri muka, lengan, leher dan badan.

Perbuatan itu dilakukan di kaki lima hadapan pintu masuk Klinik Famili Taman Cempaka di sini kira-kira pukul 10 malam 14 Ogos 2022.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali .

Mengikut fakta kes, kejadian berpunca apabila berlaku salah faham antara tertuduh dengan mangsa yang berebut bayi lelaki mereka yang ketika itu berusia tujuh bulan.

Difahamkan bayi tersebut tidak sihat dan tertuduh ingin membawanya mendapatkan rawatan di klinik berkenaan sebelum berlaku perselisihan faham antara tertuduh dan wanita itu.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon agar hukuman setimpal.

Peguam Haslinda Abu Bakar bagaimanapun memohon hukuman ringan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh, selain perlu menanggung anak dan ibunya dengan hasil pendapatan RM1,700 sebagai pekerja kilang.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 06 01 at 10.16.42

Serba Dinamik gagal kemuka laporan kewangan lagi selepas ‘kehilangan pekerja’

IMG 20230601 WA0041

Kastam Pahang rampas RM1.7 juta rokok putih