in ,

Malaysia diunjur catat pertumbuhan 4-5 peratus tahun ini – BNM

WhatsApp Image 2023 05 12 at 3.09.39 PM 1
Aktiviti pelancongan yang kembali rancak akan menyokong industri perkhidmatan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 12 Mei – Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4 hingga 5 peratus tahun ini meskipun berdepan rintangan global, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Perkembangan ini didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

Selain itu, guna tenaga dan pendapatan yang bertambah baik serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun akan menyokong aktiviti penggunaan dan pelaburan.

Pertumbuhan itu juga dipacu aktiviti pelancongan ke dalam negeri yang lebih giat sekali gus menyokong industri perkhidmatan yang berhubung rapat dengan pelanggan.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, risiko terhadap prospek pertumbuhan Malaysia secara relatif adalah seimbang.

Katanya, risiko pertumbuhan menjadi tinggi berpunca terutamanya daripada faktor dalam negeri, termasuk aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan dan pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023.

“Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi perlahan berpunca daripada eksport yang lebih rendah disebabkan pertumbuhan global lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2023 didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.

Pasaran pekerjaan yang bertambah baik serta peningkatan guna tenaga yang mantap dan upah yang terus meningkat telah menyokong penggunaan swasta.

BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras tahun ini dijangka menyederhana namun kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Inflasi yang sederhana ini mencerminkan faktor kos global yang lebih rendah berikutan gangguan rantaian bekalan yang semakin reda dan harga komoditi yang lebih rendah.

Bagaimanapun, katanya, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi dalam keadaan permintaan yang kukuh.

“Kawalan harga dan subsidi bahan api yang sedia ada akan terus membendung sebahagian kesan kenaikan tekanan inflasi.

“Imbangan risiko bagi prospek inflasi cenderung kepada lebih tinggi dan bergantung pada sebarang perubahan dasar dalam negeri, perkembangan pasaran kewangan dan harga komoditi global,” jelasnya. – nasionalkini.my

WhatsApp Image 2023 05 12 at 1.31.05 PM

Remaja didakwa simpan video lucah kekasih dalam telefon bimbit

Untitled Facebook Post Landscape

Kutip telur tuntung demi generasi akan datang