Yusuf Shafie
MELAKA, 12 Mei – Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan memiliki video lucah di dalam telefon bimbitnya, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Isa Muhaimim Mohamad Fauzi, 18, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memiliki telefon bimbit yang mengandungi video lucah dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 10 malam 5 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, video berkenaan dirakamkan antara tertuduh dan kekasihnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 namun tertuduh diwakili peguam Goh Chin Han merayu jaminan rendah dengan alasan tertuduh tidak bekerja kerana baru tamat persekolahan.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu dalam prosiding berlainan di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun antara September 2022 hingga Mei 2023.
Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah beralamat di Taman Limbongan Permai yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan N Sivashangari mencadangkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dikenakan jaminan RM12,000 serta bersetuju dengan semua syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 19 Jun depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen bagi kesemua pertuduhan. – nasionalkini.my