SHAH ALAM, 29 Mei – Rakyat Malaysia didapati terus ketagih terhadap media sosial apabila kira-kira 26.8 juta pengguna internet di negara ini menghabiskan masa selama dua jam 47 minit sehari atau lebih 20 jam seminggu bagi melayari platform media sosial.
Dapatan itu adalah hasil laporan tahunan Digital 2023 yang dikeluarkan oleh Meltwater, peneraju global dalam maklumat media dan sosial serta We Are Social bagi Januari 2023.
Laporan itu turut mendapati pengguna berusia 25 hingga 34 tahun adalah paling aktif.
Kajian berkenaan mendedahkan tiga alasan utama penggunaan internet di negara ini adalah untuk mencari maklumat (76.2 peratus), mengikuti berita semasa (65.8 peratus) dan kekal berhubung dengan rakan dan keluarga (64.2 peratus), lapor Sinar Harian.
Selain itu, laporan tahunan tersebut mendapati tiga alasan utama penggunaan media sosial adalah untuk kekal berhubung dengan rakan dan keluarga (54.6 peratus), penuhi waktu terluang (52.7 peratus) dan membaca berita terkini (42.6 peratus). – nasionalkini.my