NILAI, 18 Jun – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih kejayaan berganda pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 dengan meraih pingat emas dalam acara kegemarannya keirin sekali gus menjadikan koleksi kilauan emas di peringkat Asia kepada 12 secara keseluruhan sejak 2007.
Azizulhasni yang beraksi di hadapan penyokong sendiri di Velodrom Nasional Nilai, nyata berada dalam kelas tersendiri apabila kembali meraih emas selepas kali terakhir pada edisi di Nakhon Ratchasima, Thailand 2015.
Pelumba berusia 35 tahun itu berjaya mengetepikan pencabar utama dari Jepun, Shinji Nakano yang meraih perak dan lebih bermakna, rakan seperjuangan Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut berada di pentas podium selepas terbabit dalam satu kemalangan di separuh akhir.
“Saya mengawal perlumbaan dari awal, guna tenaga awal. Saya cuma kekalkan kelajuan.
“Selepas itu pelumba lain mula melakukan serangan tetapi saya tetap sabar dan tunggu masa sesuai. Dalam baki satu pusingan, saya tak boleh tunggu lagi kerana Jepun kuat.
“Saya terus pergi sepenuh tenaga, bila berada bersebelahan, saya dalam dunia sendiri dan mengerah sepenuh tenaga, di selekoh terakhir, saya di depan dan apa yang saya tahu, nak menang saja.
“Saya menikmati detik ini. Saya lihat penonton ‘gila’, saya pun ‘gila’.
“Syukur, ACC terakhir saya, prestasi terbaik, dua pingat emas.
“Saya ingat, sebelum ini pernah juga raih dua emas. ACC bukan mudah sekarang ini, kerana sudah tahap dunia,” kata Azizulhasni kepada media selepas perlumbaan keirin itu. – nasionalkini.my
BERITA BERKAITAN