KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kawasan seluas 134,183 hektar di Pahang akan diwartakan sebagai tanah rizab bagi Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah menjelang akhir 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun berkata, usaha tersebut meliputi kawasan seluas 92,649 hektar membabitkan keseluruhan kawasan Hutan Simpan Gunung Aais di Jerantut.
“Rizab tambahan sebagai Hutan Perlindungan Hidupan Liar telah diwartakan melalui notis bertarikh 4 Mei tahun ini.
“Manakala selebihnya akan dilaksanakan dalam fasa dua melibatkan kawasan Hutan Simpan Tekai-Tembeling dan ia merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Pahang melalui Jabatan Perhutanan negeri untuk meningkatkan populasi Harimau Malaya.
Tanah rizab ini adalah inisiatif pemuliharaan Harimau Malaya yang pertama di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Harimau Pahang Pertama di sini, hari ini.
Majlis berkenaan turut hadiri oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Johari dalam ucapan berkata, sehingga 2021, kawasan berhutan di Pahang berjumlah 2.04 juta hektar, mewakili 57 peratus daripada kawasan negeri ini, kawasan hutan ini termasuk Hutan Simpan Kekal, Hutan Perlindungan dan Hutan Tadahan Air.
“Negeri ini telah menjadi penyumbang terbesar kawasan hutan di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Malah, Pahang mengambil langkah serius dalam melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memelihara hutan.
Katanya sehingga kini terdapat kurang daripada 150 ekor Harimau Malaya di Malaysia, dengan 39 daripadanya berada di Pahang. – nasionalkini.my
.