KUALA LUMPUR, 10 Mei – Pencak silat menghadiahkan dua emas buat negara dalam Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Pesilat negara, Norsyakirah Muksin memberikan emas pertama kategori wanita 40-45 kilogram (kg) setelah menundukkan wakil Indonesia, Suci Wulandari 36-33 dalam aksi final di Chroy Changvar Convention Center.
Kejayaan itu menyuntik semangat Norfarah Mazlan untuk turut beraksi cemerlang sekali gus menyumbang emas kedua dalam acara bawah 50kg selepas menewaskan Nadhrah Sahrin dari Singapura 23-16 pada pertarungan di peringkat akhir.
Pesilat dari Sabah itu berada pada tahap terbaik dengan kemenangan selesa mengatasi Nadhrah.
Ia merupakan emas ke-17 buat negara dalam misi memburu sasaran 40 emas bagi edisi ke-32 kali ini. – nasionalkini.my