KUANTAN, 10 Mei – Kerajaan Pahang memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan cukai tanah di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini dapat dilaksanakan dengan memastikan hasil tanah dapat digandakan melalui kutipan hasil berulang selain memberi pemilikan tanah kepada agensi-agensi kerajaan dan badan-badan berkanun termasuklah FELCRA, RISDA dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Saya memberi jaminan di Dewan yang mulia ini bahawa tidak ada cadangan menaikkan cukai tanah dalam masa lima tahun, itu jaminan Kerajaan Negeri.
“Jadi apakah cadangan-cadangan yang akan kita laksanakan kerana kita tidak boleh ‘maintain’, kekalkan dengan status quo yang ada ini kerana kita tahu kenaikan gaji, barang naik dan pertambahan penjawat awam dan sebagainya jadi Kerajaan Negeri kena berusaha untuk mempertingkatkan lagi hasil untuk Kerajaan Negeri.
“Antara usaha yang akan kita laksanakan ialah pastinya usaha-usaha ini berterusan supaya kita dapat meningkatkan hasil tanah tanpa menaikkan cukai tanah antaranya meningkatkan kutipan hasil yang berulang sebagai contohnya sekarang ini kita ada 740,00 hak milik tanah, yang ini kita akan tingkatkan hingga satu juta, bermakna hasil tahunan akan meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan Lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga akan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mengurangkan ketirisan sekaligus dapat menyumbang kepada peningkatan hasil negeri. – nasionalkini.my