Oleh Arman Dhani Zafir
KUANTAN, 10 Mei – Jambatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mencadangkan pembinaan telaga tiub dan empangan di lokasi sering berlaku kebakaran disebabkan cuaca panas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, pembinaan lebih banyak telaga tiub dan empangan akan lebih memudahkan tugas bomba memadam dan mengawal kebakaran.
Menurutnya, pihaknya telah mengenalpasti 406 kawasan di seluruh negara yang dikategorikan sebagai lokasi titik panas dan berisiko.
“Kemudahan seperti telaga tiub dan empangan itu sangat penting dan berkesan bagi memastikan tugas mengawal dan memadam kebakaran dilakukan dengan lebih cepat.
“Penggunaannya juga terbukti lebih berkesan untuk operasi memadam kebakaran hutan yang jauh dari sumber air.
“Justeru, perkara ini perlu diberi perhatian dan melalui kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains, mereka boleh bantu kita dalam mengenalpasti lokasi sesuai,” katanya ketika ditemui media selepas majlis sambutan Aidilfitri Bomba Pahang di sini, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Bomba Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Sementara itu, tambah beliau lagi, pihaknya juga merancang untuk membuat perolehan tambahan membabitkan pam mudah alih bagi kegunaan operasi pasukan.
“Peruntukan sudah diluluskan dan sekarang ini dalam proses tender secara terbuka,” katanya lagi. – nasionalkini.my