Kuala Pilah, 4 Mei – Polis menahan seorang lelaki dipercayai suspek dalam kejadian rompakan emas bernilai RM1.8 juta di lorong belakang sebuah kedai emas di Jalan Pasar Rabu, di sini, pagi semalam.
Difahamkan, suspek berusia 50-an itu ditahan di daerah ini kira-kira jam 10 malam tadi hasil gerakan dijalankan polis sejak pagi semalam.
Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, pihaknya masih menjalankan soal siasat terhadap suspek bagi mengenalpasti pembabitannya dalam kejadian itu.
“Hasil siasatan dan maklumat yang diperolehi, kami menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan dua pengedar emas.
“Soal siasat sedang dijalankan untuk melihat pembabitan suspek. Reman terhadap suspek diperolehi selama tujuh hari sehingga 10 Mei depan,” katanya di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan dua pengedar emas dirompak dua lelaki bertopeng yang melarikan dua beg berisi tujuh kilogram emas dianggarkan bernilai RM1.8 juta dekat Jalan Pasar Rabu. – nasionalkini.my