oleh Iskandar Zulkarnain
KUALA LUMPUR 12 Mei – Dua bekas raja pecut Sukan SEA, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan berkongsi pingat gangsa pada aksi akhir 100 meter lelaki edisi 2023, sebentar tadi.
Muhammad Haiqal dan Khairul Hafiz mencatatkan masa yang sama iaitu 10.45 saat pada saingan yang berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, Kemboja.
Sebelum ini, Muhammad Haiqal dan Khairul Hafiz masing-masing memenangi acara tersebut pada tahun 2019 serta 2017.

Dalam pada itu, gelaran Raja Pecut Asia Tenggara kekal menjadi milik Thailand menerusi Soraoat Dapbang dengan catatan 10.37 saat.
Tempat kedua dimenangi pelari dari negara Singapura menerusi Marc Brian Louis dengan masa 10.39 saat.
Bagi aksi akhir 100 meter wanita pula, pingat emas menjadi milik Veronica Shanti Pereira dari Singapura menerusi catatan 11.41 saat.
Manakala, tempat kedua dan ketiga dimenangi atlet dari Thailand, Supanich Poolkerd (11.58 saat) serta Thi Nhi Yen Tran dari Vietnam (11.75 saat).
Dua wakil Malaysia iaitu Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nur Aishah Rofina Aling sekadar menduduki tempat ke empat dan tujuh. – nasionalkini.my