in

Harimau Malaya hormat keputusan Pan Gon

Gambar ihsan FAM

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Barisan pemain skuad Harimau Malaya menerima keputusan mengejut bekas pengendali negara, Kim Pan Gon yang meletakkan jawatan serta-merta dengan hati terbuka.

Kapten Harimau Malaya, Dion Cools antara tonggak utama di bawah kendalian Pan Gon tampil menzahirkan ucapan terima kasih di atas tunjuk ajar jurulatih dari Korea Selatan itu selama dua tahun membimbing pasukan.

“Terima kasih untuk segala-galanya. Diucapkan moga terus berjaya,” tulis Cools di Story Instagramnya.

Ucapan sama turut dikongsikan tonggak naturalisasi negara, Sergio Aguero yang menghormati keputusan Pan Gon itu.

“Satu penghormatan,” kata Sergio serta emoji hormat kepada ‘sifunya’ itu.

Seorang lagi tonggak naturalisasi yang juga bekas pemain kebangsaan, Lee Tuck turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Pan Gon.

“Selamat maju jaya ‘coach’ @kimpangon”, kata Tuck yang sudah mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak dan kini menetap di England.

Untuk rekod, kontrak Pan Gon bersama skuad Harimau Malaya sepatutnya berakhir pada Disember 2025.

Namun, Pan Gon mengumumkan peletakan jawatannya semalam selepas dua tahun empat bulan mengemudi skuad negara sejak dilantik pada Februari 2022.

Alasan keputusannya itu disebabkan mahu memberi tumpuan kepada urusan peribadi dan akan pulang ke Korea Selatan dalam masa terdekat. – nasionalkini.my

Olylife 131 Group bawa inovasi baru dunia kesihatan

Ziarah Kasih di Paya Rambutan