in

Sang Kenari tumbangkan Sang Badak

Lee Tuck muncul wira KDA FC selepas menjaringkan 2 gol pada minit ke-40 dan 71 bagi menumbangkan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Aman, malam tadi - Gambar oleh KDA FC

ALOR SETAR, 3 Jun – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memanfaatkan kelebihan beraksi laman sendiri apabila menundukkan Sabah FC dengan jaringan 2-1 pada aksi Liga Super ke-13 di Stadium Darul Aman, malam tadi.

Dengan kemenangan ini, skuad Sang Kenari naik satu anak tangga ke tangga keempat liga sekaligus menepati hasrat pengendalinya, Nafuzi Zain yang mahu memastikan Kedah mencatat keputusan positif di hujung pusingan pertama musim ini.

Tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal Sang Badak menerusi pemain import Gabriel Perez pada minit ketujuh selepas berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan bebas diambil Baddrol Bakhtiar.

Kedah cuba bangkit memburu gol selang dua minit selepas itu dengan percubaan penyerang importnya, Willian Lira, namun percubaannya tersasar melewati palang.

Sabah yang bersemangat melakukan serangan menerima kejutan apabila pemain importnya, Jailton Da Silva mengalami kecederaan serius hingga terpaksa diusung keluar padang dan dihantar ke hospital selepas terjatuh akibat bertembung dengan Bojan Ciger, lapor BH.

Kedah yang terus memburu gol akhirnya berjaya memecah kebuntuan hasil jaringan Lee Tuck pada minit ke-40 selepas menyambar bola dihantar Hidalgo ke ruang kotak penalti.

Kedah sekali lagi mendapat peluang keemasan di hujung babak pertama menerusi percubaan kapten Kedah, Manuel Ott namun percubaannya itu berjaya ditepis keluar penjaga gawang Sabah FC, Damien Lim dan kedudukan terikat sehingga tamat separuh masa pertama.

Kembali dengan aksi babak kedua, Kedah menggandakan asakan dan lebih banyak mengawal perlawanan.

Sang Kenari akhirnya berjaya menambah gol menerusi jaringan kedua Lee Tuck pada minit ke-71 yang merembat bola hasil dari tandukan keluar yang kurang kemas pertahanan Sabah FC.

Pemain gantian Sabah FC, Jaffri Firdaus Chew memilki peluang di hujung babak kedua namun percubaannya berjaya ditangkap kemas Ifwat Akmal untuk menyelamatkan gawang Kedah.

Kedudukan 2-1 itu kekal hingga ke hujung babak kedua menyaksikan Kedah membawa pulang tiga mata. – nasionalkini.my

Ketam telur masin ‘killer menu’ di Marina

Prestasi ringgit kembali pulih