in

Ketam telur masin ‘killer menu’ di Marina

Menu ketam telur masin menjadi pilihan utama pelanggan Marina Tomyam Seafood, Tanjung Lumpur

TANJUNG Lumpur yang terletak kira-kira 5 kilometer dari bandar raya Kuantan, Pahang, sentiasa menjadi tumpuan dan pilihan penggemar makanan laut.

Dengan deretan gerai, kedai makan dan restoran di kiri kanan jalan, sering membuatkan pengunjung dari luar Kuantan sukar memilih lokasi untuk menjamu selera.

Walaupun kebanyakan pengunjung akan mencari gerai atau kedai makan atau restoran menawarkan hidangan ikan bakar, namun tidak kurang juga yang berminat untuk mencuba menu berbeza daripada kebiasaan itu.

Dan di antara deretan gerai, kedai dan restoran yang terdapat di sepanjang jalan Tanjung Lumpur – Sungai Soi itu jugalah Marina Tomyam Seafood mencipta nama dalam kalangan ‘penggila’ makanan laut.

Restoran itu diusahakan Isama Ae Lateh sejak 13 tahun lalu dan semakin mendapat tempat di hati penduduk sekitar Kuantan serta pelanggan dari luar Pahang.

Pemilik Marina Tomyam Seafood, Isama Ae Lateh

Isama, 45 tahun, yang berasal dari Pattani, Thailand membuka restoran itu dua tahun sebelum bertemu jodoh dengan isterinya, Hasnah Omar.

Hasil perkongsian hidup Isama dan Hasnah, mereka kini mempunyai tiga cahaya mata.

Bercerita lanjut mengenai restoran Marina itu, Isama berkata, antara ‘killer menu’ di restoran itu adalah ketam telur masin dan sotong telur masin.

Selain dua menu pilihan utama pelanggan itu, Marina juga menyediakan pelbagai menu masakan panas lain dan ikan bakar.

“Hidangan ikan bakar memang kita buat juga, sebab Tanjung Lumpur itu sendiri orang dah kenal sebab ikan bakar.

“Cuma fokus utama kami ialah ketam dan sotong telur masin, itu paling istimewa dan sentiasa menerima sambutan hangat daripada pelanggan,” katanya.

Marina kini mempunyai 13 pekerja sepenuh masa bagi memastikan setiap pelanggan mereka mendapat perkhidmatan terbaik.

IMG 20230603 003249 6 x 4 inch
Pemandangan sekitar bandar raya Kuantan dari Tanjung Lumpur

Kata Isama lagi, restoran Marina itu dibuka bermula jam 5 petang hingga 1 pagi.

“Pelanggan tetap kami biasanya berada di sekitar Kuantan, tapi bila musim cuti umum, memang tak menang tangan juga kerana jumlah pelanggan bertambah dua hingga tiga kali ganda.

“Ada antaranya datang dari Singapura, Putrajaya, Johor, Lembah Klang, Melaka dan negeri jiran (Kelantan dan Terengganu),” katanya.

Isama mengakui tidak menyangka sambutan hebat diterima daripada pelanggan sejak Marina memperkenalkan menu ketam dan sotong telur masin.

Katanya, ketika mula dibuka sekitar tahun 2002, cabaran hebat terpaksa mereka hadapi dengan puluhan restoran yang sudah lama bertapak di Tanjung Lumpur.

“Susah juga nak naikkan nama Marina, masa kita mula-mula buka dulu, kami buat ikan bakar dan ketika itu memang ‘struggle’ sebab di sini sudah banyak (kedai) yang jual ikan bakar.

“Jadi dari situ kami fikir kena buat (perkenalkan) menu lain daripada yang lain, dan di situlah kami sediakan menu ketam dan sotong telur masin.

“Memang strategi itu berjaya menarik pelanggan dan Alhamdulillah, sehingga hari ini, itulah menu yang paling mendapat perhatian dan permintaan daripada pelanggan,” katanya lagi.

Jadi, kepada mereka yang bercadang untuk meluangkan masa cuti hujung minggu di bandar raya Kuantan, jangan lupa untuk singgah dan merasai sendiri kelazatan dan keunikan ketam telur masin dan sotong telur masin di Marina Tomyam Seafood. – nasionalkini.my

BERITA BERKAITAN

lhdn 1

Program Pengakuan Sukarela diperkenal semula beri peluang orang ramai bayar cukai tanpa penalti

Sang Kenari tumbangkan Sang Badak