JIKA ditanya kepada peminat bola sepak dunia, rata-rata pastinya sependapat bahawa Renato Sanches merupakan bakat muda yang memiliki kualiti serta bakat tersendiri.
Namun begitu, dalam ramai menghamburkan kata-kata pujian, pastinya ada yang terselit menyatakan rasa simpati terhadap nasib menimpa pemain kelahiran Portugal berusia 25 tahun itu.
Ini kerana meskipun dianugerahkan dengan bakat luar biasa namun otot kaki Sanchez ‘rapuh’ dan sangat mudah cedera sekiranya digunakan secara berlebihan.
Statistik menunjukkan, sejak memulakan karier lapan tahun lalu, beliau tidak pernah beraksi lebih daripada 30 perlawanan untuk kelab yang diwakili.
Setakat ini, Sanches sudah menyertai enam kelab antaranya PSG, Benfica, Lille dan Monaco dengan penampilan terbanyak yang pernah dibuat adalah ketika bersama Lille pada musim 2021/2022.
Ia boleh dikatakan sebagai musim terbaik beliau sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional sehingga menarik minat PSG untuk mendapatkan khidmatnya.
Kelab elit dunia itu membayar sekitar 15 juta pound (RM87.7 juta) untuk mengikat pemain berambut gondrong tersebut bagi lima tahun mendatang.
Bagaimanapun, Sanches gagal mengulangi prestasi semasa di Lille dan kecederaan dialami telah membuat PSG tawar hati serta cuba menolak keluar pemain tersebut.
Hari ini, media melaporkan, kelab Itali, AS Roma bersedia untuk menerima Sanches yang selama ini khidmatnya begitu didambakan oleh jurulatih Jose Mourinho.
Ini selepas Sanches secara peribadi telah bersetuju untuk menyertai La Lupa dan kini hanya menunggu masa sahaja untuk diperkenalkan kepada Romanista.
Mourinho sejak musim lalu lagi sudah mahu membawa Sanches ke kota Rom, namun PSG yang memiliki kuasa wang terlebih dahulu mendapatkan tandatangannya.
Ramai menyifatkan perpindahan ke Serie A bakal merubah masa depan Sanches, ini kerana Mourinho memiliki ramuan untuk menyerlahkan kembali bakat beliau.
Contoh terbaik adalah apa yang berlaku kepada Paulo Dybala – kini kembali menemui keseronokan untuk bermain bola sepak semula di bawah bimbingan jurulatih terkenal dengan jolokan nama ‘The Special One’.
Mourinho memberi perhatian yang lebih kepada Dybala atau La Joya (berlian) dalam sesi latihan khusus melibatkan aktiviti keras dan sangat berhati-hati dalam menggunakan khidmatnya.
The Special One dilihat jarang memaksa Dybala bermain sehingga habis 90 minit, beliau biasanya akan dimainkan antara 45 hingga 60 minit bagi mengelakkan kecederaan.
Ia sekali gus membolehkan La Joya menjadi sebahagian anggota bola sepak Argentina yang mencipta sejarah meraih piala dunia ketiga mereka, baru-baru ini.
Formula ini mungkin akan digunakan ke atas Sanches yang berkongsi masalah sama seperti Dybala. Ramai mahukan magis tersebut dapat dilaksanakan. – nasionalkini.my