KUALA LUMPUR, 16 Julai – “Kita akan cuba yang terbaik dan saya sudah nasihatkan kepada pemain untuk siapkan fizikal dan mental bagi mengharungi perlawanan getir ini.”
Itu kata Ketua Jurulatih Skuad Sepak Takraw Negara, Ahmad Jais Baharun ketika mengulas mengenai persiapan anak buahnya menentang musuh tradisi, Thailand dalam perlawanan akhir acara berpasukan Kejohanan Sepak takraw Piala Raja Thai 2023 pada Ahad.
Sinar Harian melaporkan, beliau berkata, mereka akan cuba menampilkan persembahan luar biasa sekali gus mencipta kejutan ke atas Thailand .
“Thailand memiliki sedikit kelebihan namun percaya para pemain mampu menandingi pasukan Gajah Perang itu.
“Daripada segi serangan dan bertahan memang Thailand lebih baik. Sebab itu, kita sudah mengumpul video permainan Thailand dan mengkaji corak permainan mereka untuk melihat kelebihan atau kelemahan yang boleh kita ambil peluang.
“Saya yakin pemain akan bersedia sebaik mungkin dan fokus kepada permainan tanpa memikirkan kelebihan yang dimiliki lawan. Semasa Sukan SEA baru-baru ini juga kita mampu curi satu mata dalam acara berpasukan dan itu juga satu perkara positif menjelang perlawanan esok,” katanya.
Skuad sepak takraw negara mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir selepas menundukkan Myanmar 2-0 pada aksi separuh akhir di Bangkok pada Sabtu. – nasionalkini.my