KUALA LUMPUR, 16 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dikurniakan Anugerah Felo Kehormat Institusi Jurutera Malaysia (IEM) pada Majlis Makan Malam Tahunan ke-64 dan Anugerah IEM 2023, di sebuah hotel, di sini malam tadi.
Turut menerima anugerah berkenaan adalah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Zaini Ujang; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dan EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.
Bernama melaporkan, anugerah itu diberikan oleh IEM kepada individu terbilang yang diiktiraf terkemuka serta menjadi teladan yang memberikan sumbangan besar dan perkhidmatan cemerlang kepada profesion kejuruteraan negara.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkata jurutera adalah penggerak utama pembinaan negara Malaysia yang bertindak sebagai pemangkin dan pelaksana pembangunan Infrastruktur serta ekonomi.
Sehubungan itu dalam ucapannya, Fadillah berkata, peranan jurutera dan IEM amat penting ketika negara berusaha mencapai status negara maju. – nasionalkini.my