KUALA LUMPUR, 15 Mei – Negara kehilangan legenda sukan sepak takraw apabila raja libas tanah air, Adnan Saidin, menghembuskan nafas terakhirnya pagi ini pada usia 66 tahun.
Berita sedih itu disahkan oleh anak ketiganya, Mohd Faizal Adnan yang juga bekas perejam negara, Kedah dan Negeri Sembilan melalui laman media sosial Facebooknya.
“Assalamualaikum untuk makluman bapa saya, Adnan Saidin baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir selepas subuh tadi, mohon sedekah al Fatihah pada arwah bapa saya.
“Semoga ALLAH ampunkan segala dosa dan terima amalannya, amin,” katanya, lapor BH.
Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC), Alor Setar, Kedah sejak minggu lalu akibat jangkitan kuman pada paru-parunya sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.
Adnan kembali ke rahmatullah pada jam 6 pagi. Solat Jenazah akan diadakan selepas Zohor di Surau Kampung Padang, Batu 2 Tandop, Alor Setar, Kedah.
Adnan yang mewakili negara dari tahun 1980 hingga 1986, terkenal dengan libas pari di posisi apit kiri dan kerap digandingkan dengan Shukri Ismail sebagai apit kanan atau pengumpan dan Azman Ismail sebagai tekong.
Bersama Kedah, mereka juga pernah menjulang Piala Emas Khir Johari dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan pada edisi 1981, 1985, 1986 dan 1987.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu pernah bergelar Pemain Terbaik Asia 1984 dan Raja Sepak Takraw Asia 1986.
Rejaman Adnan bukan sahaja membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979, Manila 1981 dan Singapura 1983, tetapi turut menghadirkan gerun buat musuh tradisi, Thailand.
Dilahirkan di Kedah pada 25 Februari 1957, Adnan mula bermain sepak takraw pada usia yang muda, sekitar 10 tahun.
Beliau mewakili skuad negeri dan kebangsaan dari 1976 hingga 1986.
Beliau diberikan penghormatan yang tinggi apabila dinobatkan sebagai ‘ Pemain Terbaik Asia 1984’ dan ‘Raja Sepak Takraw Asia’ pada Kejohanan Regu MAS / UTUSAN / RTM – Kuala Lumpur (1986).
Ketika itu, gandingan beliau bersama Raziman Hassan (apit kanan) dan Azman Ismail (tekong) telah menewaskan musuh tradisi Thailand untuk muncul juara. Adnan mengumumkan persaraannya tidak lama selepas itu. – nasionalkini.my