in

Tinggal anak pergi klinik 11 tahun lalu

JKM mohon waris Rayyan Farhan tampil bagi urusan hak penjagaan dan persekolahan - Gambar oleh BH

PUTRAJAYA, 17 Julai – Helah pasangan suami isteri mahu ke klinik dan meninggalkan bayi lelaki dengan seorang jiran di FELDA Sungai Behrang, Slim River, Perak, 11 tahun lalu mengakibatkan kanak-kanak itu berdepan masalah dokumentasi, sekali gus sukar memperoleh pendidikan formal.

Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sepang, Siti Fairuz Dul Wahab, berkata Rayyan Farhan, 11, ditinggalkan ibu bapanya dengan seorang jiran, Sarihah Marhusin ketika berusia 12 hari.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati ibu bapa kanak-kanak itu baru berpindah seminggu ke kawasan itu dan memberi alasan untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan isterinya dan meninggalkan bayi malang itu tanpa sebarang dokumen.

Katanya, ibu angkat kanak-kanak itu memaklumkan bapa kanak-kanak itu bekerja sebagai tukang rumah dan kurang pasti sama ada warga asing atau tempatan.

“JKM memohon bantuan orang ramai untuk mengesan ibu bapa Rayyan Farhan bagi tujuan hak penjagaan, dokumentasi dan persekolahan,” katanya kepada BH.

Siti Fairuz berkata, sejak ditinggalkan, ibu bapa Rayyan Farhan tidak pernah muncul untuk mencari anaknya dan masih tinggal dengan Sarihah sehingga hari ini.

Katanya, waris kanak-kanak diminta tampil bagi memudahkan pihaknya membuat permohonan hak penjagaan di mahkamah dan proses seterusnya bagi masa depan Rayyan Farhan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi JKM Sepang di talian 03-87061026,”katanya.- nasionalkini.my

iCEPS rai anak yatim, asnaf

4 pasukan sertai sepak takraw tertutup