JOHOR BAHRU, 25 Julai – Tindakan pantas pihak pengurusan Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri membawa keluar penyokong pada perlawanan akhir Piala FA, Sabtu lalu berjaya mengelakkan kejadian provokasi menjadi lebih buruk.
Baru-baru ini, tular video tindakan pihak SSI termasuk anggota keselamatan membawa keluar beberapa penyokong ketika babak awal perlawanan akhir antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City).
Tindakan itu dipercayai selepas berlaku provokasi antara beberapa orang penyokong kedua-dua pasukan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah, berkata tindakan pantas perlu diambil bukan sahaja oleh pasukan keselamatan stadium, malah Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tiada kecelakaan berlaku dalam mana-mana perlawanan sukan.
“Baru-baru ini dalam kejadian yang ditularkan, itu tindakan pantas dan awal pihak berwajib. Kalau tidak dikawal, keberangkalian besar akan berlaku pergaduhan sama ada dalam atau luar stadium.
“Jadi, kita perlu berterima kasih kepada pihak berwajib kerana mereka mengawal keselamatan supaya provokasi itu tidak meluas.
“Selepas ini, saya minta pihak berwajib meneruskan (tindakan kawal keselamatan) dan setiap stadium atau venue sukan dikawal penuh oleh pihak berwajib stadium atau polis dan sebagainya dan mereka boleh terus ambil tindakan tanpa ragu-ragu untuk kawal keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui BH selepas Majlis Pelancaran Skuad Muda Southern Volunteers (SV) Sekolah 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Jaafar di sini, hari ini.
Mohd Hairi berkata, perlawanan bola sepak antara sukan atau aktiviti berbentuk kekeluargaan dan sepatutnya tidak perlu berlaku provokasi sama ada daripada penyokong negeri ini atau luar.
“Jika tidak puas hati, kita ada gelanggang sukan, boleh tunjuk kehebatan di gelanggang, bukan tunjuk hero di khalayak,” katanya.- nasionalkini.my