KUANTAN, 24 Disember – Walaupun bergelar wakil rakyat pembangkang dan tidak diberikan peruntukan oleh kerajaan Pahang, ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus tetap menjalankan tanggungjawab seperti biasa.
Mohd Yazid berkata, peranan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat adalah satu amanah yang perlu dipikul dengan rasa rendah diri.
“Ada peruntukan atau tidak, kita tetap kena turun padang menyantuni penduduk yang memerlukan perhatian dan sumbangan.
“Ia adalah tanda terima kasih kita sebagai wakil rakyat yang dipilih pengundi.
“Jadi, kena istiqamah dalam menjalankan tugas berdasarkan kemampuan kita,” kata ADUN Lepar itu.
Mohd Yazid yang juga Ketua BERSATU Paya Besar sebelum itu melakukan Singgah Ziarah di FELDA Lepar Hilir 1.
Dia menyantuni kediaman warga emas yang terlantar sakit urat saraf sejak lebih tiga tahun lalu.
“Semoga encik Salim segera sembuh dan dipermudahkan segala urusannya,” katanya.— nasionalkini.my