KUANTAN, 20 Disember – ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus menggesa kerajaan Pahang berterus-terang mengenai keadaan kewangan negeri ketika ini.
Soalnya, adakah kerajaan Pahang tidak memiliki sumber kewangan mencukupi hingga tidak mampu memberikan peruntukan sama rata kepada semua ADUN, termasuk daripada pembangkang.
“Saya faham, pembangkang tak boleh diberi peruntukan sama macam wakil rakyat kerajaan, mungkin kerana negeri Pahang tidak ada duit agaknya.
“Cuma, kerajaan di negeri lain yang juga dikatakan ‘miskin’ ketika zaman kerajaan Madani, tapi mereka masih mampu menyalurkan peruntukan kepada semua ADUN, tak kira pembangkang atau kerajaan.
“Ini berlaku di negeri Kelantan, Kedah, Perlis… begitu juga Selangor dan Perak,” katanya.
Mohd Yazid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan menteri besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam.
Wan Rosdy dilaporkan berkata, tidak mungkin peruntukan sama rata diberikan kepada ADUN pembangkang di Pahang.
Dalam pada itu, Mohd Yazid yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional Pahang merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Pahang kerana menyalurkan sumbangan Ramadan berjumlah RM5,000 baru-baru ini.
“Terima kasihlah bagi juga RM5,000 kepada kami, cuma nak maklumkan kepada menteri besar Pahang, ADUN pembangkang membelanjakan wang poket sendiri lebih RM20,000 sepanjang Ramadan lalu.
“Begitu juga dengan peruntukan RM30,000 untuk projek pembangunan dalam kawasan DUN pembangkang, macam kawasan saya di Lepar – ada 10 kawasan jadi dapatlah satu kawasan dalam RM3,000.
“Apa projek yang boleh dibuat dengan kos RM3,000 atau nak baik pulih apa dengan modal RM3,000 itu?,” katanya lagi.
Mohd Yazid bagaimanapun bersyukur dengan kenyataan dibuat Wan Rosdy berhubung isu peruntukan itu kerana rakyat boleh menilai sendiri apa yang dilakukan kerajaan Pahang kepada pembangkang.
“Biarlah, rakyat akan menilai mereka dan PRU16 nanti, rakyat akan hukum kesombongan dan sikap ‘besar kepala’ mereka,” katanya.— nasionalkini.my